Presiden Pertubuhan Minda Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, setakat ini kira-kira 13 perwakilan DAP telah bertemu dengan beliau dan menyatakan kekecewaan dengan cara pemi­lihan tersebut yang didakwa se­perti proses perjudian tombol (judi berdasarkan nombor).

Para perwakilan mendakwa pro­ses pengiraan undi tidak dilakukan secara terbuka dan tiada wakil pemerhati dalam kalangan perwakilan dibenarkan untuk me­ninjau proses tersebut.

“Kertas undi juga tiada nombor siri, malah para perwakilan sangat tidak berpuas hati dengan cara dilakukan kerana seperti pro­ses judi tombol sahaja.

“Kami yakin kes ini dapat dibawa ke mahkamah dan keputusan pemilihan CEC DAP boleh dibatalkan, tetapi kami perlu berbincang dengan peguam terlebih dahulu mengenai perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar dekat sini hari ini.

Menurut Ramesh, selain itu para perwakilan juga mendakwa pemilihan semula CEC 2017 kali ini tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Merujuk kepada surat bertarikh 21 September 2017 kepada DAP, ahli-ahli DAP yang telah dipecat selepas pemilihan CEC 2012 perlu dibenarkan untuk mengambil bahagian pada pemilihan kali ini, namun ada yang mendakwa mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Ahli-ahli telah dinafikan hak mereka dan perkara-perkara sebegini yang akan kita gunakan untuk mencabar keputusan pemilihan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan berkata, para perwakilan serta ahli akar umbi juga tidak berpuas hati dengan pemilihan syarikat Grant Thornton sebagai Pegawai Pengurus Pemilihan CEC DAP 2017 itu.

“Sepatutnya syarikat tempatan dilantik seperti mana permintaan para perwakilan, namun perkara tersebut tidak dilakukan oleh DAP,” katanya.