KO CHU LIANG
KO CHU LIANG

Terbaharu apabila penyandang Ketua Cabang PKR Kangar, Ko Chu Liang iaitu calon daripada kem Mohamed Azmin melahirkan rasa kesal dengan tindakan wakil-wakil rakyat parti itu yang disifatkan cuba menguasai PKR dengan bertanding jawatan tertinggi.

Kata Chu Liang yang juga antara pengasas PKR negeri ini, sebagai wakil rakyat, mereka sepatutnya menumpukan kerja-kerja dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Tidak salah mereka (wakil rakyat PKR) hendak bertanding tetapi sepatutnya mereka tidak mencabar jawatan-jawatan tertinggi seperti ketua cabang. Mereka sudah jadi wakil rakyat, sepatutnya tumpu kepada kerja-kerja untuk rakyat.

“Parti biarlah orang lain urus, kerana mereka pastinya tidak mempunyai masa untuk menjaga parti,” katanya yang bakal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kangar yang disandangnya sejak 2011, di sini hari ini.

Dalam pemilihan PKR kali ini, Chu Liang akan dicabar oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dari pasukan reformasi 20 tahun.

Manakala seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil bakal merebut jawatan Ketua Cabang PKR Arau manakala Amran Kamarudin juga dari kem Rafizi akan bertanding di Padang Besar.

Sebelum itu, Asrul Nizan melahirkan keyakinan bahawa barisan kepemimpinan PKR negeri ini termasuk di peringkat cabang dijangka dikuasai oleh muka-muka baharu.

Keyakinan itu disuarakan oleh Asrul Nizan berdasarkan kecenderungan dan sokongan lebih 6,000 ahli parti itu di Perlis kepada pemimpin-pemimpin daripada kem Rafizi.

Sementara itu, Chu Liang berkata, kebanyakan calon daripada kem Mohamed Azmin mempunyai pengalaman luas di dalam parti memandangkan mereka adalah barisan awal semasa zaman reformasi pada 1998.

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan wakil-wakil rakyat PKR bahawa kemenangan parti itu di kawasan Kangar adalah disebabkan usaha dan kerja keras beliau dalam membantu ke arah kejayaan tersebut. - UTUSAN ONLINE