Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendekatan yang julung kali dirintis membabitkan tiga kerajaan negeri yang diterajui dua parti politik pembangkang yang berbeza itu hanya untuk memberi lebih kefahaman mengenai keharmonian terutama dalam masyarakat pantai timur.

"Secara umumnya penerimaan rakyat sangat positif kerana tiada individu yang tidak cintakan keharmonian serta kesejahteraan dan inilah mesej yang kita bawa.

"Perpaduan itu bukan kerana ingin mencabar sesiapa tetapi untuk memberi lebih kefahaman supaya kita boleh hidup dalam keadaan lebih baik dan harmoni," katanya dalam sidang akhbar selepas program yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Penganjuran Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur melakar sejarah tersendiri apabila tiga teraju kerajaan negeri pembangkang disatukan di pentas sama dengan acara kemuncak membabitkan ucapan ketiga-tiga pemimpin berkenaan.

Terdahulu ketiga-tiga Menteri Besar pantai timur menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama puluhan ribu hadirin selepas tiba kira-kira pukul 7 malam dengan diiringi konvoi bermotosikal seramai 3,000 orang.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, dakwaan kononnya Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur adalah permulaan kepada agenda pemeteraian piagam muafakat di antara Pas dan UMNO pada 14 September depan adalah kurang tepat kerana ruang dan peluang tersebut merupakan antara usaha ke arah kerjasama lebih akrab ketiga-tiga negeri bagi manfaat rakyat.

"Kita ada pelbagai aspek kerjasama yang boleh diteroka untuk ketiga-tiga negeri antaranya pembangunan sempadan. Jika sebelum ini masing-masing bergerak dalam konteks masing-masing tanpa menghiraukan jiran sebelah, tetapi kini kita boleh berbincang supaya manfaat diperoleh secara bersama.

"Misalnya dalam bidang sukan dan belia, jadi dgn kerjasama ini akan memudahkan sebarang keputusan dalam banyak perkara," katanya.

Hubungan antara Pas dan UMNO semakin terserlah dan serasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila kepemimpinan kedua-dua parti saling menghadiri program kepartian termasuk Persidangan Agung UMNO dan Muktamar Tahunan Pas. - UTUSAN ONLINE