MUHAMMAD ABDUL MALIK ABDUL KARIM
MUHAMMAD ABDUL MALIK ABDUL KARIM 

Perwakilan Kelantan, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim berkata, pada mulanya, kerajaan Pusat berdolak-dalih berkaitan agihan royalti iaitu 20 peratus daripada keuntungan walaupun perjanjian asal adalah lima peratus daripada pengeluaran minyak.

Seterusnya kata beliau, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa janji-janji dalam manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu bukan kitab suci yang wajib ditunaikan.

“Kita mula bimbang terhadap perkembangan ini dan permainan lebih licik berlaku apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata perbelanjaan Kelantan banyak dibantu Pusat, dan kerajaan negeri ini dikaitkan pula dengan keborosan.

“Kemudian mereka mainkan isu kerajaan negeri menukar kereta baharu. Ini sama sekali menunjukkan memang ada cubaan menyekat hak rakyat Kelantan,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda Pas dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-59, di sini hari ini.

Menurut Muhamad Abdul Malik, tujuan utama kerajaan PH mahu menafikan hak Kelantan menerima royalti minyak kerana khuatir, Pas mampu memperbaiki prestasi mentadbir negeri sekali gus meyakinkan rakyat untuk terus memberi mandat kepada parti itu dan menolak PH.

Terdahulu, beliau yang merupakan Penolong Setiausaha Pemuda Pas Kelantan berkata, jika pemberian royalti minyak direalisasikan, kerajaan Pas Kelantan merancang untuk memperuntukkan sebahagian besar wang tersebut khusus untuk bidang pendidikan.

Kata beliau, walaupun kewangan terhad, Kelantan masih berjaya memastikan bidang pendidikan negeri itu setara dengan negeri-negeri lain, selain mampu membangunkan institusi tahfiz dan sekolah agama aliran sains dan vokasional sendiri. - UTUSAN ONLINE