Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, di dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan UMNO perlu sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.

“Jika hari ini kita lihat Pas dan PKR putuskan hubu­ngan dan tidak mustahil situasi ini berubah pada pilihan raya nanti. Di Kelantan ini kita tidak boleh meramal apa-apa kemungkinan.

“Jadi kita perlu sentiasa bersiap sedia menentang sesiapa sahaja mungkin dua penjuru, tiga atau lima penjuru. Seluruh ahli dan jentera mesti melipat gandakan usaha untuk kembali merampas Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, UMNO akan sentiasa mendekati pengundi luar yang diakui bakal menjadi penentu kepada kemenangan dalam pilihan raya nanti.

Dalam perkembangan ber­­kai­­­t­an ­beliau memberitahu, pihaknya sudah mengemukakan senarai nama calon yang bakal bertanding dalam PRU-14 kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, senarai calon yang dihantar sejak akhir tahun lalu itu merangkumi muka baharu dan lama termasuk daripada Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO.

“Apa yang pasti pemilihan kali ini akan dibuat secara lebih teliti bagi memastikan mereka yang diketengahkan itu merupakan calon boleh menang.

“Insya-Allah cadangan nama yang disenaraikan mampu memenangi hati rakyat dan pada masa sama kita masih berbincang dengan setiap ketua UMNO bahagian berhubung cadangan calon terbabit,” katanya.