Naib Ketuanya, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, Dr. Mahathir dalam hal ini jangan lupa bahawa Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kepada kewujudan dan kuasa sah perlembagaan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau yang juga seorang peguam turut mengingatkan Perdana Menteri kepada dua perkara lagi yang disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa sah negeri.

“Lupakah Tun Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan mengatakan, kecuali bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, Perlembagaan Persekutuan menjamin hak raja sebagai Ketua Agama Islam di negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan negeri itu?

“Lupakah Tun bahawa Perkara 181 Perlembagaan menjamin kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja-raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di dalam wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Fared, menghormati Dr. Mahathir adalah santunan rakyat kepada Perdana Menteri keempat dan ketujuh bagi Malaysia tapi janganlah menjadikan setiap kenyataan beliau yang dilihat ‘mudah lupa’ memungkinkan rakyat hilang rasa hormat.

“Tun dah kenapa Tun? Mudah lupa?,” ujarnya.

Dr. Mahathir hari ini dalam laman blog beliau membangkitkan Undang-Undang Tubuh Johor 1895 dan Terengganu 1911 terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan dibentuk pada 1957.

Perdana Menteri menerusi catatan dalam chedet.cc turut menjelaskan secara ringkas mengenai pembentukan Perlembagaan tersebut serta kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang. - UTUSAN ONLINE