“Kita lupakan peristiwa pahit lalu,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH yang meminta pandangannya menjelang perhimpunan itu.

UTUSAN: Bagaimana ahli UMNO dan perwakilan perlu melihat kepentingan perhimpunan kali ini?

WAN ROSDY:
Sewajarnya pada perhimpunan ini yang kali pertama kita tidak lagi sebagai parti pemerintah di peringkat nasio­nal, kita sama-sama muhasabah diri terutama menerima hakikat yang kita sudah kehilangan kuasa. Kemudian mencari kaedah-kaedah yang betul supaya kita kembali diterima rakyat. Dalam usaha ini, jauhkan sama sekali tuding-menuding jari dan me­nyalahkan pihak-pihak tertentu yang hanya mengundang lagi perpecahan antara kita.

Apakah fokus yang perlu diberikan?

WAN ROSDY: Tumpuan seharusnya kepada persoalan tentang apa cara untuk me­ngukuhkan kembali parti dan meyakinkan ahli di semua pe­ringkat bahawa UMNO masih lagi relevan dan mempunyai hala tujunya yang tertentu untuk terus kekal relevan serta diterima rakyat. Sudah tentulah beberapa kenyataan negatif dan tindakan pemimpin yang keluar parti sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak merencatkan usaha tetapi kita tidak boleh berputus-asa.

Ramai yang bercakap soal hala tuju UMNO. Apakah yang perlu dilakukan kepemimpinan agar kesempatan perhimpunan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah itu?

WAN ROSDY: Saya percaya soal hala tuju ini akan disebut secara jelas oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar Sabtu ini. Selanjutnya, sama-samalah kita para perwakilan mengupasnya pada sesi perbahasan dan menjadikannya sebagai pedoman untuk turut difahami oleh akar umbi dalam kalangan ahli kita.

Bagi Badan Perhubungan UMNO Pahang sendiri, ke arah mana atau apakah mesej yang akan dibawa?

WAN ROSDY: Pahang adalah satu daripada dua negeri yang masih di bawah Barisan Nasional (BN). Bukanlah kita mahu mendabik dada atau terlalu berbangga dengan kenyataan ini tetapi sekurang-kurangnya tentunya ada sesuatu yang betul dilakukan oleh BN dan UMNO Pahang yang menyumbang kepada kejayaan ini.

Maka, apa yang hendak Pahang tekankan adalah apa juga yang diperjuangkan oleh BN dan UMNO hendaklah yang sentiasa berorien­tasikan rakyat. Pemimpinnya pula hendaklah betul-betul kelihatan bersama-sama rakyat semasa senang apatah lagi ketika susah. Dengan adanya semangat kebersamaan inilah, saya yakin BN dan UMNO terus diterima rakyat.

Apakah harapan Datuk Seri?

WAN ROSDY: Bersempena dengan perhimpunan kali ini, kita lupakan sahaja peristiwa pahit yang lalu tetapi tidaklah berada dalam sindrom penafian lagi. Marilah kita bertekad untuk bersama-sama mengembalikan kekuatan BN dan UMNO yang tercinta dan yang terkesan teruk akibat tindakan pihak-pihak ter­tentu sebelum ini. Sesungguh­nya saya percaya, nasi belum lagi menjadi bubur. Harapan masih ada untuk kita kekal bersatu membawa kembali kegemila­ngan parti yang selalunya sebelum ini kita laungkan sebagai parti keramat.