Abdul Aziz berkata, sebagai seorang yang mendalami Perlembagaan, beliau hanya menerangkan dari sudut undang-undang bahawa tiada masalah untuk kerajaan negeri melaksanakan manifesto Pakatan Harapan Perak di bawah teras tiga iaitu Keadilan Sosial dan Demokrasi.

Katanya, teras tersebut telah menggariskan untuk memberikan tanah hak milik kekal bukan sahaja kepada kampung baharu tetapi juga kampung tersusun dan peneroka Felda yang mana kedua-duanya mempunyai majoriti penduduk Melayu.

“Percanggahan pendapat dengan Menteri Besar hanya mengenai sudut Perlembagaan, bukan soal pemberian hak milik tanah kerana saya percaya beliau juga sependapat untuk menunaikan manifesto secara keseluruhannya.

“Saya hanya menjelaskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 91(5) yang tidak menyebut soal halangan kerajaan negeri memberikan hak milik kekal kepada penduduk kampung baru, kampung tersusun dan peneroka Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak di Asrama Anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE