Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin berkata, setiap keputusan yang diambil oleh parti ini perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan dari seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi.

"Saya khuatir, sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan dengan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR telah dimanipulasi oleh kelompok tertentu.

"Adalah penting untuk seluruh kepimpinan PKR menjunjung tinggi agenda reformasi yang kita perjuangkan selama ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan amat berharap Anwar akan tampil mengumumkan pendirian beliau mengenai perkara tersebut.

Hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah menyerahkan surat peletakkan jawatannya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut dan menjadi Perdana Menteri kelapan. - UTUSAN ONLINE