Terbaharu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan pula membidas Cheng Hau yang mempertahankan tindakannya mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Cheng Hau sebelum itu menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana Dr. Mahathir juga pernah berbuat gesaan sama terhadap Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dahulu.

Tegas Wan Saiful, Chen Hau hanya individu kecil yang 'gila' publisiti apabila mengaitkan situasi antara Dr. Mahathir dengan Tuanku Abdul Rahman iaitu dua tokoh besar dalam politik negara.

"Dia (Cheng Hau) perlu sedar diri bahawa kedudukan dia terlalu jauh daripada status Dr. Mahathir ketika itu. Dr Mahathir dan Tunku Abdul Rahman adalah dua nama besar.

"Apa pula mimpi dia untuk samakan diri sendiri dengan situasi tokoh-tokoh itu?," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Chen Hau mendesak peletakan jawatan Dr. Mahathir kerana Pengerusi Bersatu itu memperlekehkan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai selama dua penggal itu juga turut menyerang Bersatu yang menerima bekas pemimpin UMNO menyertai parti itu.

Kenyataan Chen Hau itu kemudian dibidas sekeras-kerasnya oleh Exco Armada Bersatu, Mohd. Fahim Mohd. Farid yang menyifatkan tindakan pemimpin DAP itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, PH meraikan kepelbagaian pandangan namun biarlah dilakukan dengan cara berdisplin dan semangat kekeluargaan bukannya gila publisiti sehingga sanggup meruntuhkan institusi.

"Pada masa kita semua sibuk bermukim setiap hari di Semenyih, adakah Cheng Hau ini mahu menjadi tukang sabotaj PH atau apa?.

"Sekiranya dia lebih suka menyusahkan kami yang sedang sibuk di Semenyih, lebih baik letak jawatan atau DAP sendiri buang dia kerana nyata dia seorang yang hanya tahu mengeruhkan keadaan bukannya membantu," katanya.- UTUSAN ONLINE