Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, atas sebab itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng rela memberi jawatan tertinggi kepada Anwar dan Dr. Mahathir kerana perkara pen­ting adalah mencapai matlamat mempunyai kuasa memerintah negara.

Katanya, strategi DAP itu sebenarnya telah diketahui umum kerana mereka hanya menggunakan taktik lama seperti melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak selama 11 bulan pada tahun 2008.

“DAP memang bijak menggunakan orang Melayu, macam di Perak lantik pemimpin Melayu tetapi di belakang yang memberi arahan dan berkuasa adalah Nga Kor Ming, seterusnya di Selangor pun, kaedah yang sama mereka guna semasa melantik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar tetapi yang berkuasa adalah Teresa Kok dan ahli-ahli Parlimen bukan Melayu.

“DAP bukan mahu pangkat dan jawatan seperti Anwar dan Dr. Mahathir, mereka hanya mahu kuasa. Lagipun ia memudahkan kerja mereka sebab yang di depan ini yang akan berperang dengan mengeluarkan pelbagai kenya­taan kepada umum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Reunion Perdana Gabungan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz (Azizian) Teluk Intan, Perak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penasihat Kelab Alumni Azizian, Datuk Abdullah Hamid Jaafar dan Pengerusi Kelab Alumni Azizian, Fauzi Zulkifli.

Kira-kira 1,000 ahli Kelab Alumni Azizian dari tahun 1960 hingga 2017 hadir dalam majlis yang julung kali diadakan itu.

Antara tokoh-tokoh yang meru­pakan alumni sekolah tersebut adalah bekas Menteri Besar Perak yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib; Leftenan Kolonel (B), Mohd. Nizar Darus dan penerima Anugerah Sasterawan Pahang, Datuk Dr. Mohd. Mansor Abdullah.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya belum menerima maklumat mengenai kenaikan harga kambing dan lembu berikutan sambutan Aidiladha namun aktiviti pemantauan sentiasa dijalankan di pasar raya serta pasar tani seluruh negara.

Dalam masa sama katanya, kementerian memberi jaminan lembu dan kambing untuk keperluan di seluruh negara bagi sam­butan perayaan tersebut tahun ini adalah mencukupi.

“Saya baru mengetahui menge­nai khabar angin mengatakan harga daging korban lembu untuk satu bahagian meningkat daripada RM400 kepada RM600, kita akan memantau bagi memastikan perkara ini tidak benar,” katanya.