Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Ujarnya, seorang lelaki berusia 50 tahun telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur pada pukul 12.12 tengah malam mendakwa ditumbuk dan dicekik dalam kejadian tersebut.

“Polis sedang siasat motif sebenar kejadian. Apa yang kami tahu setakat ini motif kejadian dipercayai kerana tidak puas hati tentang bayaran urusan kempen pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dekat sini hari ini.

Mohamad menjelaskan, polis menerima laporan berhubung pergaduhan itu kira-kira pukul 7.30 malam dan seramai 10 anggota polis bergegas ke lokasi bagi mengawal keadaan.

Menurutnya, anggota polis terlibat kemudian mengiringi calon PH, Dr. S. Streram meninggalkan kawasan tersebut selepas keadaan terkawal.

Semalam, pergaduhan tercetus antara penyokong PH di bangunan itu kira-kira satu jam sebelum keputusan PRK DUN Rantau diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya. - UTUSAN ONLINE