Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik berkata, kedua-dua parti tersebut mempunyai tiga persamaan yang akan mengukuhkan penyatuan itu sekali gus akan memudahkan kerjasama.

“Ahli UMNO dan Pas perlu sentiasa ingat terhadap tiga persamaan antara kedua-dua parti sebagai sebab mengapa mereka perlu bekerjasama iaitu atas dasar sama-sama Islam, sama-sama Melayu dan sama-sama kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Tidak juga timbul soal siapa ikut siapa, tiada isu UMNO ikut Pas atau sebaliknya kerana kita ikut Islam atas pegangan penyatuan ummah,” katanya berucap dalam Ceramah Penyatuan Umah Labis 1.0 di Kampung Tenang di sini malam tadi.

Sementara itu, Namun Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Dr. Adham Baba berkata, pindaan Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda kelayakan umur pengundi daripada 18 kepada 21 tahun tidak memberi kelebihan secara langsung kepada mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Namun beliau berpendapat, sudah tentu parti-parti politik dalam Pakatan Harapan (PH) mempunyai kaedah dan strategi dalam usaha mendekati para pelajar di peringkat sekolah menengah yang bakal mengundi kali pertama ada PRU-15 nanti.

“Walau bagaimana pun, kami daripada blok pembangkang (UMNO dan Pas) akan sentiasa menilai apakah kaedah gunakan mereka untuk mendekati golongan tersebut. Kami akan memastikan mereka tidak mengdoktrinasi pelajar, jika ini berlaku kami akan membuat bantahan secara terbuka,” katanya.

Menurutnya, ketika menjadi pembangkang PH menuduh Barisan Nasional (BN) menggunakan pelbagai platform termasuk Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) bagi mengindoktrinasi rakyat.

“Sekarang mereka sudah jadi kerajaan dan seharusnya mereka tidak melakukan perkara-perkara yang ditentang semasa menjadi pembangkang dahulu,” ujarnya.

Katanya, pendaftaran pengundi secara automatik ketika mencapai usia 18 tahun merupakan langkah terbaik bagi memastikan masalah mereka yang layak tidak mendaftar sebagai pengundi dapat diatasi.

Menurut Adham, selama ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada undang-undang untuk mendaftar pengundi tetapi perkara itu tidak berlaku dan masih ramai mereka yang layak mengundi tidak mendaftar sebagai pemilih. - UTUSAN ONLINE