Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, Pas yakin penyatuan ummah yang telah digerakkan bersama UMNO serta pertubuhan lain berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan hak orang Melayu beragama Islam di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, perasaan takut bahawa gabungan dua parti besar Melayu iaitu Pas dan UMNO menjadi ancaman kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah punca Perdana Menteri tiba-tiba membuat seruan tersebut.

“Itu seruan dia, ini (strategi) politik, kita Pas juga ada (pendirian) sendiri, kita seru semua parti-parti Melayu umat Islam supaya lebih dekat kepada latar belakang dan cara budaya Melayu Islam.

“Kita tetap dengan kaedah kita buat hari ini iaitu penyatuan ummah, kita masih mahu Pas dan UMNO bersama, asas kita seperti dipersetujui kepimpinan dan Muktamar adalah ta’awun dengan UMNO dan parti Melayu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kelantan Charity Drive 2019 yang disertai 140 peserta ‘supercar’ di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini hari ini.

Ahmad diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang mempelawa semua parti politik Melayu menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Pas menolak secara bulat-bulat pelawaan daripada Pengerusi Bersatu itu, Ahmad berkata, ia bergantung kepada suasana politik pada masa hadapan.

“Buat masa sekarang, inilah pendirian Pas tetapi kita tidak tahu dan tidak boleh jamin suasana pada masa hadapan, kehendak politik ketika itu mungkin berubah,” katanya. UTUSAN ONLINE