Dalam masa sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mempersoal siapa sebenarnya yang bertanggungjawab memecah belahkan Melayu sebelum ini dan individu itu perlu bertanya kepada diri sendiri.

Katanya, UMNO akan membina kekuatan sendiri dan bersama Pas untuk tidak lagi menoleh ke belakang ke arah penyatuan ummah ini.

“Kita sudah rasa bahagia sekarang (kerjasama UMNO Pas) apabila melihat Melayu sudah bersatu. Pergi kampung-kampung, adik-beradik sekarang semua sudah bersatu melalui penyatuan kedua-dua parti ini.

“Buat apa lagi tawar kepada kita, kita sudah sudah tawar hati. Lagipun UMNO kan parti penyamun, perompak buat apa lagi ajak bersatu,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di Dewan 2020 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar merangkap Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man; Timbalan Ketua UMNO Bahagian,

Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan kepemimpinan negeri dan bahagian itu.

Dr. Mahathir ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor semalam mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Pengerusi Bersatu itu dilaporkan berkata, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam.

“Dulu hanya ada satu parti Melayu iaitu UMNO, tapi kerana tamakkan kedudukan, hari ini orang Melayu berpecah enam.

“Bukan lagi majoriti 60 peratus, tapi setiap parti hanya 10 peratus sahaja. Saya harap bekas UMNO yang masih dalam UMNO perlu ingat, kita perlu bersatu untuk berjuang apa pun,” kata Dr. Mahathir. - UTUSAN ONLINE