Sehubungan itu, Mohd. Redzuan mencabar bekas Perdana Menteri tersebut agar berhadapan dengan beliau bagi mendapat penerangan bagaimana Bersatu ditubuhkan.

Kata beliau, tindakan Najib yang meruntuhkan ekonomi negara menjadi antara sebab parti itu ditubuhkan dan ia langsung tidak ada kena mengena dengan Kit Siang.

“Sudah-sudahlah Najib dengan apa yang dilakukan terhadap rakyat dan negara. Tidak perlu pusing cerita bangkitkan perkara yang langsung tidak benar.

“Ini satu lagi penipuan (Kit Siang cadangkan Bersatu ditubuhkan), kalau biasa menipu, asyik hendak menipu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Didik Rakyat 2019 di sini, hari ini.

Utusan Online sebelum ini melaporkan pendedahan Najib mengenai asal usul penubuhan Bersatu adalah hasil cadangan Kit Siang.

Bekas Perdana Menteri itu mendedahkan perkara tersebut semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pendang di sini malam tadi sekali gus sebagai reaksinya terhadap pelawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini yang mempelawa parti-parti politik Melayu menyertai Bersatu.

Dakwanya, cadangan Kit Siang itu dilontarkan dalam satu mesyuarat bersama Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin lain sebelum tertubuhnya Bersatu yang kemudiannya menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu.- UTUSAN ONLINE