Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pada 2009, seramai 80,000 umat Islam di negara ini menunaikan umrah dan jumlah itu meningkat kepada 310,000 orang pada tahun lalu.

Kata beliau yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), pada masa sama, sebanyak RM67 bilion deposit Tabung Haji direkodkan pada tahun lalu berbanding hanya RM32 bilion pada 2009.

"Ini menunjukkan kekuatan ekonomi orang Melayu yang meningkat saban tahun. Saya tidak nafikan masih banyak perlu diperhalusi tetapi kerajaan tidak pernah berdiam diri untuk membantu menyelesaikan masalah ekonomi Bumiputera di negara ini.

"Ini dilakukan terutamanya di bawah insiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) secara sistematik," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Arau di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - UTUSAN ONLINE