Setiausaha PKR negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya memandang serius apa yang berlaku di Kedah dan akan memastikan perkara sama tidak berlaku di Perak.

Menurutnya, setakat ini semua persiapan untuk hari pengundian di semua 24 cabang PKR di negeri esok sudah selesai dan berharap ia berjalan lancar.

"Cabang yang berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru dijangka hangat apatah lagi keahlian di cabang-cabang berkenaan agak tinggi antara 5,000 hingga 8,000 ahli.

"Jadi kita akan mengambil langkah berjaga-jaga antaranya di Cabang Tambun, Bagan Serai dan Lumut dengan persiapan untuk mengelak berlakunya perkara yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Amanat Perdana Malaysia Baharu oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Auditorium RTM, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE