Seorang penduduk, Abdul Halim Jalaini, 50, berkata, beliau percaya keputusan yang diambil Zainol Fadzi itu bagi memastikan rakyat Sungai Manik terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

Menurutnya, sebagai seorang bekas exco yang sudah berpengalaman dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, sudah tentu keputusan yang dibuat Zainol Fadzi dipertimbang semasak-masaknya.

“Saya berpendapat keputusan Zainol dibuat demi kepentingan rakyat kerana senario politik yang sudah berubah selepas PRU-14 apabila kerajaan Pusat sudah berubah pentadbiran.

“Demi memastikan rakyat terus terbela, kerajaan negeri perlulah selari dengan pemerintah di Pusat. Keputusan Zainol juga menyelesaikan kemelut pembentukan kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.

Rijaludin Hashim, 53, yang mengenal sikap Zainol Fadzi sebagai seorang wakil rakyat yakin tindakan ADUN Sungai Manik itu tiada kepentingan peribadi.

Katanya, selama ini pun Zainol Fadzi sentiasa memberikan perhatian kepada rakyat di sini.

“Saya percaya beliau hanya mahu memastikan rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya kerana jika kerajaan negeri dan Pusat tidak selari, mungkin keadaannya berbeza,” katanya. - UTUSAN ONLINE