Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau berharap rakyat dan pengundi boleh sedar diri sebelum mengundi pada hari Rabu ini.

“Kalau pengundi masih lagi tidak sedar setelah pengakuan dibuat oleh pemimpin mereka sendiri berkenaan dengan fitnah, berkenaan dengan strategi menggunakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai kuda tunggangan, saya pun tidak tahulah.

“Ini semua pendedahan yang telahpun dibuat bahawa mereka (pembangkang) mencetuskan gelombang fitnah, Dr. Mahathir digunakan sebagai umpan mendapat undi terutamanya daripada golongan Melayu,” katanya.

Beliau yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau berkata demikian selepas bertemu dengan para penduduk serta pengundi dalam satu program di Telok Mas di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Seri Latiff Tamby Chik; calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Melaka, Eric Choo Wei Sern dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan  ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad meminta polis menjalankan siasatan menyeluruh dan menghentikan propaganda jahat DAP sebelum PRU-14 berakhir beberapa hari lagi.

Amran memaklumkan membuat laporan polis dan menyerahkan segala bukti berkaitan puluhan rakaman video dan risalah jahat yang disebarkan DAP serta tidak gentar sekiranya berdepan tindakan oleh kepimpinan DAP. - UTUSAN ONLINE