Penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz berkata, hal ini kerana beliau yakin pengundi-pengundi di Parlimen Jerlun matang dalam menilai agenda pakatan pembangkang tersebut yang dipenuhi dengan fitnah.

“Tak nampak tanda-tanda tsunami Melayu di sini, suasana di Parlimen Jerlun ini tenang tidak ada masalah pun, tak ada caci-mencaci atau maki-hamun dan sebagainya.

“Pengundi di sini bijak menilai dan mereka juga matang dalam berpolitik kerana tahu hanya BN yang dapat meme­nuhi janji-janji kepada rakyat berbanding gabungan pembangkang PKR,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Matang Bonglai Kecil di sini hari ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya yang juga Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng dalam satu ceramah mega di Perkampu­ngan Juru, Batu Kawan, Pulau Pinang kelmarin percaya akan berlaku tsunami Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang kemudiannya bakal menjatuhkan kerajaan BN.

Menurut Othman, berdasarkan maklum balas yang diterima, para pengundi yakin hanya BN yang mampu membawa keharmonian dan ke­amanan di negara ini.

“Rakyat tidak akan me­ngambil risiko dengan me­ngundi pihak yang tidak terbukti kemampuannya dalam mentadbir negara ini,” kata­nya.

Dalam pada itu Othman berkata, beliau sedang me­lakukan pecutan akhir dalam melaksanakan kempen untuk meyakinkan pengundi di Parlimen Jerlun agar mengundi BN pada PRU-14.

“Semangat penyokong kita tinggi dan kita sedang menjalankan kerja-kerja lonjakan dalam kempen yang sedang menuju ke pusingan akhir,” katanya.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan kedatangan Pengerusi Gabungan Pembangkang PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berceramah di sekitar Parlimen Jerlun, esok.

“Ini negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh berkempen, cuma saya harap kempen tersebut tidak dipenuhi dengan fitnah dan dilakukan secara profesional, bukan de­ngan tujuan memecahbelahkan rakyat,” katanya.