Gerai itu bukan biasa-bia­sa, sebaliknya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan. Banyak baju dijual tertera perkataan ‘Malu Apa Bossku’. Dijual pada harga RM5 sehelai, sama dengan baju lain tetapi yang itu lebih laris.

Walaupun dalam hati siapa yang tahu, namun Muhammad Aiman seperti mana calon lain tidak boleh lokek dengan senyuman sambil tetap bersalaman dengan pengunjung gerai berkenaan.

Pada sebelah malamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkempen di kawasan Fasa 6, Bandar Tasik Kesuma dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih. Mengambil kira fasa hari-hari awal kempen, kehadiran 1,000 orang tanpa mobilisasi pergerakan kiranya satu ang­ka yang sangat baik.

Awal ucapannya, Najib terus bagi punchline “tak pernah dalam sejarah ada Menteri panggil sidang akhbar untuk umum harga telur turun dua sen,”. Memang yang hadir menyambutnya dengan gelak ketawa.

Inilah nikmat jadi pembangkang, banyak peluru. Sebab buat kerja orang lain dan peluru paling berkesan ketika ini ialah harga barang atau dalam bahasa buku peningkatan kos sara hidup.

Tun Dr. Mahathir Moha­mad sudah sebut Sabtu lalu, sekarang masa untuk anggota kerajaan dikritik, dan semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim pula buat ciapan mengenai kos sara hidup jadi perhatian utama rakyat dan bukan politik.

Namun pemimpin PH tidak dapat lari daripada ‘Najib dan Najib’ dalam usaha mengendurkan fenomena Bossku dalam Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih. Sedang­kan ini mengheret mereka kepada ‘drama ulang tayang’ kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, walhal rakyat sudah mengalihkan isu Najib kepada hal ehwal mahkamah, bukan politik.

Ingat, pengundi DUN Semenyih ramai yang dalam kelompok B40, bergelut dengan harga barang yang meninggi walaupun selepas era cukai barang dan per­khid­matan (GST). Anwar dah sebut, rakyat nak kerajaan PH berusaha kurangkan kos sara hidup. Jadi, apa usa­ha­nya? Jangan malu kalau nak buat pusingan U, macam Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk penerima bujang.