AMRAN KAMARUDIN
AMRAN

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri, Amran Kamarudin berkata, beliau berpendapat bahawa calon Pengerusi MTEN sewajarnya adalah dipilih daripada pemimpin PKR.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya sentiasa terbuka jika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed memilih sesiapa sahaja pemimpin daripada tiga parti komponen lain dalam Pakatan Harapan.

“Daripada tiga parti ini (komponen Pakatan Harapan), seelok-eloknya PKR (pegang jawatan Pengerusi MTEN) kerana parti ini ada empat orang wakil rakyat di negeri ini iaitu satu Parlimen dan tiga DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Malah, Noor Amin dilihat calon paling sesuai sebab dia Ahli Parlimen dan mudah untuk berurusan dengan Pusat bagi membawa pembangunan di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan membantah pelantikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi MTEN bagi negeri tersebut.

Biro Politik Amanah negeri yang mengadakan mesyuarat khas turut meminta Majlis Presiden Pakatan Harapan bersuara bagi pihak mereka untuk mendesak supaya keputusan melantik Mohamed Azmin dikaji semula.

Setakat ini, hanya Kelantan diumumkan mengenai pelantikan itu manakala tiga negeri lain iaitu Perlis, Pahang dan Terengganu yang bukan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan masih belum diumumkan.

Sementara itu, Amran berkata, pihaknya akan menerima apa sahaja keputusan Perdana Menteri berhubung soal pelantikan tersebut walaupun jawatan itu disandang sama ada oleh anak tempatan atau orang luar.

“Kita patuh keputusan kerajaan, sesiapa sahaja dihantar kita akan beri kerjasama janji ada pembangunan di Perlis," katanya. - UTUSAN ONLINE