Dalam masa, beliau juga berharap, pelantikan Pengerusi Bersatu negeri selepas ini mesti dalam kalangan pemimpin tempatan dalam usaha mengemudi Pakatan Harapan (PH) menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, beliau akur dengan pelantikan Marzuki sebagai Pengerusi Bersatu Perlis namun berharap ia sekadar sementara sehingga berlangsungnya pemilihan parti itu.

“Saya juga akur walaupun tidak terpilih dalam barisan pimpinan baharu ini. Marzuki sewajarnya membuat perubahan demi perubahan bagi menguatkan agenda pemantapan Bersatu di tiga bahagian negeri ini.

“Saya juga terkejut apabila Ketua Srikandi negeri digugurkan namun saya ingin menasihatkan semua ahli agar bertenang dan menggunakan pemilihan parti dalam tempoh beberapa bulan lagi untuk memilih pemimpin berkualiti.

“Hal demikian penting dalam merealisasikan misi menawan Perlis dan memperkasakan agenda pembangunan sosial ekonomi rakyat. Kita tidak mahu pemimpin parti guna jawatan untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam mesyuarat pimpinan Bersatu Perlis Sabtu lalu, Marzuki diumumkan sebagai Pengerusi Bersatu dan PH negeri ini buat sementara waktu sehingga Oktober depan.

Marzuki yang juga Setiausaha Agung Bersatu dilantik bagi mengantikan Amier Hassan yang direhatkan daripada memegang apa-apa jawatan termasuk di peringkat bahagian.

Selain Amier, turut direhatkan daripada menyandang sebarang jawatan dalam parti di peringkat negeri ialah Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan.

Sementara itu, Ammar berkata, salah satu strategi membangunkan Perlis adalah dengan memperkasakan negeri ini dalam sektor pelancongan.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Usahawan dan Perlancongan Perlis (KUPPs) memaklumkan akan menghantar memorandum kepada Marzuki untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar usaha untuk membangunkan industri pelancongan di negeri ini dipergiatkan. - UTUSAN ONLINE