Salmiah Samingon

Dengan keadaan harga ko­moditi yang terus jatuh ditambah pula tiada lagi ‘keistimewaan’ atau pun bantuan diberikan menyebabkan peneroka kini seolah-olah tiada arah me­ngadu.

Apa yang mampu dilakukan mereka hanyalah mengadu dan bersuara di sana sini walaupun hakikatnya seperti pepatah ‘bagai anjing menyalak bukit'.

Seorang peneroka Felda Su­ngai Koyan 3, Salmiah Samingon, 64, berkata, selepas sembilan bulan memerintah tiada apa-apa harapan yang dapat diharapkan kepada kerajaan baharu apabila peneroka terus terbeban.

Jelasnya, kejatuhan harga kelapa sawit yang berterusan dan tanpa bantuan lain seperti fa­edah, bonus tahunan ditambah kelewatan bayaran hasil membebankan mereka.

“Makcik pelik kenapa zaman Najib baik sahaja (keadaan kehidupan) kami anak-beranak dapat pelbagai bantuan Felda termasuklah untuk anak-anak tetapi sekarang tiada apa lagi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk anak-anak pun sudah tiada.

“Walaupun dia dituduh de­ngan isu rasuah dan sebagainya dia bantu rakyat itu yang penting. Orang kata dia menipu ke apa ke, tetapi dia turun padang bantu rakyat, tiada macam sekarang kami dibiarkan sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi peneroka, Sudin Ibrahim, 85, berkata, dia amat kecewa dengan kerajaan sekarang yang tidak dapat membantu masyarakat pene­roka dan hanya pandai berjanji.

Katanya, kenaikan harga barang-barang keperluan dalam masa sama kejatuhan harga kelapa sawit yang berterusan membebankan masyarakat pe­neroka.

“Zaman sekarang memang jauh beza dengan zaman Najib dulu, bukannya harga barang keperluan yang turun tetapi harga sawit pula jatuh.

“Sekarang ini mereka hendak janji membantu bagaimana kami hendak percaya, dulu ada bonus dan sebagainya tetapi sekarang habuk pun tak ada,” ujarnya.