Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri itu seolah-olah berlaku salah guna kuasa yang melarang SPRM melakukan siasatan.

Menurutnya, pihak berkuasa negeri mahupun Exco tidak sepatutnya menganggu penyiasatan SPRM yang sebagai badan bebas.

“Apa yang berlaku kepada undang-undang sekiranya SPRM tidak dibenarkan untuk melakukan siasatan tanpa kebenaran beliau? Yang menjadi persoalan, kenapa hanya arahan itu dikenakan terhadap sekolah Tamil sahaja?

“Sekiranya benar tiada unsur penyelewengan atau salah guna kuasa di sekolah tamil yang disiasat maka sudah itu akan meningkatkan integriti institusi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Syed Mohd. Johan Rizal berkata, pihaknya mendesak Summugam yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat di sebuah sekolah tamil di Sungai Petani baru-baru ini.

The Star Online yang memetik Makkal Osai semalam melaporkan Summugam mengesa SPRM supaya tidak mengunjungi sekolah tamil di negeri ini tanpa kebenarannya.

Malah, Pengarah SPRM juga perlu memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu sebelum melawat mana-mana sekolah tamil.

Kenyataan itu dibuat dalam satu Majlis Penyerahan Buku Kerja Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 59 sekolah tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Arumugam Pillai, Sungai Petani baru-baru ini.

Sementara itu, Summugam ketika dihubungi Utusan Malaysia menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan beliau itu disalah tafsir.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang SPRM sebagai badan bebas untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana sekolah tamil di negeri ini. Sebaliknya, saya sedia berkerjasama dengan suruhanjaya itu sekiranya terdapat laporan berhubung penyelewengan atau salah guna kuasa di mana-mana sekolah Tamil di negeri ini.

“Malah, saya meminta sekolah tamil yang disiasat SPRM sekiranya ada untuk berhubung dengan saya kerana segala hal berkaitan masyarakat India berada dalam bidang kuasa selaku Exco,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE