Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut tidak berjaya apabila ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi tidak terpengaruh dengan tindakan beberapa pemimpin terbabit melompat parti.

“Mereka ini telah melompat tapi masuk ke dalam longkang sebab itu ramai yang tak mahu ikut. Apabila ketua bahagian keluar dia sangka yang lain akan ikut. Tetapi ini tak berlaku, ahli-ahli cawangan tetap setia dengan UMNO.

“Pemimpin yang melompat ini tidak dapat keistimewaan. Apabila sudah keluar UMNO mereka ini dipinggirkan dan hanya diperalatkan untuk melemahkan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Telok Kemang di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO bahagian tersebut, Mohd. Faizal Ramli dan timbalannya, Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kekuatan sebenar UMNO terletak di peringkat cawangan dan ia akan menentukan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Yang akan memenangkan kita adalah akar umbi di cawangan. Sebab itu kita kena kerja kuat kerana kekuatan kita berdasarkan kekuatan dan kerja keras di cawangan,” ujarnya.

Beliau berkata, UMNO dan Pas mempunyai peluang membentuk kerajaan gabungan di Kedah dan Perak selepas PRU-14, namun perkara itu tidak berlaku disebabkan perselisihan lama antara kedua-dua parti.

 

“Alhamdulilah, ketika ini kita sudah kembali kepada asas persaudaraan dan menjalinkan kerjasama. Di peringkat akar umbi khususnya banyak program dilakukan bersama walaupun belum ditandatangani kerjasama secara rasmi antara UMNO dan Pas,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa UMNO akan diharamkan namun parti itu mempunyai pilihan lain iaitu dengan semua ahli menjadi ahli BN sekiranya perkara tersebut berlaku. - UTUSAN ONLINE