Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang tidak dicalonkan terutama penyandang perlu menerima hakikat dan bersikap terbuka dengan keputusan yang telah diputuskan oleh pucuk kepimpinan tertinggi.

Menurut beliau, keputusan yang dilakukan itu tidak harus dipertikaikan kerana ia adalah berdasarkan hasil kajian terperinci tentang sokongan masyarakat akar umbi di sesebuah kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Jadi, semua penyandang atau muka lama yang digugurkan daripada senarai calon pada pilihan raya umum kali ini harus memiliki daya tahan dan menerima hakikat keputusan yang telah diputuskan.

“Saya juga pernah berdepan dengan tekanan dan desakan yang lebih hebat dahulu, namun saya tidak pernah membelakangi parti, apa yang penting semangat kepartian harus mengatasi segala bentuk kepentingan lain,” katanya ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas isu pengguguran Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi sebagai calon BN bagi Parlimen Batu Pahat yang menybabkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada PRU-14 hari ini.