Pengiraan undi di semua 13 cabang PKR di negeri tersebut mendapati Mohamed Azmin beroleh 3,326 undi manakala Rafizi memberi saingan sengit apabila menerima 3,150 undi.

Keputusan itu menyaksikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berada di depan dengan kelebihan 176 undi.

Mohamed Azmin mendahului di Kepala Batas, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bayan Baru dan Bukit Mertajam manakala Rafizi pula menerima undi terbanyak di Permatang Pauh, Bagan, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor dan Balik Pulau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din berkata, JPP hanya akan memuktamadkan keputusan untuk cabang-cabang PKR di Pulau Pinang dalam mesyuarat bersama pengaturcara, esok.

“Antara perkara yang perlu diteliti adalah analisis teknikal sistem e-undi, pengesahan pengundi ragu dan pengesahan jumlah undi dalam sistem,” katanya melalui satu kenyataan dalam laman sesawang rasmi pemilihan PKR (https://www.pemilihankeadilan2018.com), hari ini. -UTUSAN ONLINE