Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, ada keperluan pihaknya melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.

“Kita buat pemeriksaan berdasarkan maklumat daripada siasatan yang dibuat sahaja.

“Pemeriksaan dijalankan dengan baik dan mereka yang berada di kediaman itu juga memberi kerjasama yang baik kepada polis,” katanya selepas majlis penutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara, di sini hari ini.

Noor Rashid turut mengesahkan tiada sebarang rampasan dilakukan sepanjang pemeriksaan dilakukan di kediaman itu bermula kira-kira pukul 2 petang semalam.

Selain itu, ketika ditanya sama ada Datin Seri Rosmah Mansor akan ditahan dan seterusnya didakwa di mahkamah, Noor Rashid berkata siasatan masih dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM yang jalankan siasatan, saya belum boleh komen,” katanya.

Semalam, polis menyerbu kediaman Tun Rahah di Jalan Eaton off Jalan Tun Razak, di sini ketika Najib dihadapkan ke mahkamah bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah RM2.282 bilion.

Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM3.5 juta yang akan dibayar secara berperingkat mulai hari ini sehingga 28 September. -UTUSAN ONLINE