Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, di bawah perlembagaan parti, mana-mana ahli dan pemimpin UMNO tidak boleh boleh membawa sebarang isu parti ke mahkamah, justeru tindakan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan suatu tindakan tepat.

Pada masa sama, Ahmad Zahid beranggapan isu mengenai pengumuman calon dan watikah yang akan dikeluarkan atas nama Barisan Nasional (BN), adalah sah mengikut perundangan.

"Kita yakin tidak seharusnya ahli-ahli UMNO digunakan oleh mana-mana tokoh pembangkang yang merupakan sebuah parti tidak didaftarkan kerana tidak mengikut perlembagaan sendiri. Mereka terus mengadakan mesyuarat agung tanpa terlebih dahulu melakukan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian.

"Maka, bagi membalas tindakan penggantungan sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itulah agaknya, mereka telah menggunakan 16 orang UMNO ini untuk membawa semakan kehakiman untuk membatalkan pendaftaran UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan GiatMara Bagan Datuk di Jalan Besar, Hutan Melintang, dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE