Perkara itu disahkan oleh Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan jumlah kerusi itu melibatkan kawasan Semenanjung sahaja, tidak termasuk kerusi di Sabah dan Sarawak.

“Kesemua kerusi (yang akan ditandingi itu) kita yakin boleh menang,” katanya kepada pembe­rita selepas Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyid­din Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan keputusan gabungan pembangkang yang bersetuju mengagih­kan 52 kerusi Parlimen untuk ditandingi PPBM, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan PAN 27 kerusi dalam PRU14.

Pengumuman pengagihan ke­rusi itu dinyatakan oleh Saifuddin semasa membacakan perjanjian muafakat Pakatan Harapan yang telah ditandatangani pe­mimpin tertinggi PKR, DAP, PAN dan PPBM dalam konvensyen berkenaan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengakui pembahagian kerusi Parlimen dalam Pakatan Harapan bukan mudah dan memerlukan masa yang lama untuk dibuat bagi membolehkan semua pihak berpuas hati.

“Jadi kita kena terima semua parti yang tidak puas hati, dan sudah tentu parti saya (PPBM) tidak puas hati kerana kita minta ba­nyak, akhirnya dapat sikit.

“Tapi PKR pun banyak buat tuntutan, namun mereka tidak dapat semua, demikian juga de­ngan DAP serta PAN,” ujarnya.