Bagaimanapun, BN tidak pernah terasa hati dan menghukum pengundi Penampang sebaliknya gerak kerja sentiasa dilakukan untuk menjaga kebajikan rakyatnya demi merampas kembali kerusi berkenaan. Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI, Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose menjelaskan bagaimana gerak kerja BN sentiasa dilakukan walaupun kerusi itu bukan lagi milik BN.

UTUSAN: Apakah fokus parti dalam gerak kerja pilihan raya umum kali ini?

AMBROSE: Fokus gerak kerja di peringkat bahagian dan cawangan giat dilakukan semua jentera daripada semua peringkat sayap parti iaitu pergerakkan Wanita, Pemuda dan Puteri termasuk parti komponen di kawasan ini iaitu Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Program Jom Turun Padang bertemu rakyat hampir setiap hari diadakan dengan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan malah, program tersebut adalah bersifat berpanjangan meskipun bukan musim pilihan raya.

UTUSAN: Dalam tempoh lima tahun, apakah yang dilaksanakan pembangkang di Penampang?

AMBROSE: Seperti kita tahu, pembangkang hanya pandai menabur janji dan janji yang dibuat tidak pernah dikotakan sehingga rakyat yang menanggung beban.

Itu belum lagi mempersoalkan janji yang tidak pernah mereka mampu laksanakan meskipun hanya di kawasan Penampang.

Sebaliknya, tugas mereka hanya pandai mempersoalkan usaha-usaha yang dilakukan kerajaan biarpun ia ternyata memberi kebaikan kepada banyak pihak.

UTUSAN: Isu banjir sering mengganggu penduduk dan apakah langkah penyelesaian yang dilakukan kerajaan?

AMBROSE: Masalah banjir di kawasan ini terlalu kritikal. Ini kerana, walaupun hujan hanya dalam tempoh sejam, beberapa kawasan mula terjejas dengan kenaikan air yang mendadak. Lebih teruk lagi dikawasan penempatan dan pusat perniagaan.

Oleh itu, dua projek meja kini giat dilaksanakan kerajaan bagi mengawal dan mengurangkan berlakunya banjir di kawasan ini iaitu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog dan Projek Rancangan Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Moyog.

UTUSAN: Jika BN menang, apakah yang akan dibawa untuk rakyat?

AMBROSE: Sudah pasti, setiap harapan atau suara rakyat akan diangkat ke peringkat seterusnya bagi memastikan semua janji-janji yang dibuat akan ditunaikan dalam tempoh tertentu. Kita akui ia tidak boleh dilakukan serentak, tetapi akan dilaksanakan mengikut peringkat dan fasa berdasarkan perancangan pihak berkaitan.

UTUSAN: Harapan Datuk kepada rakyat khususnya pengundi?

AMBROSE: Harapan saya kepada semua warga Penampang agar memilih parti yang banyak menyumbang bakti dan tenaga untuk pembangunan kawasan ini. Janganlah mudah terpedaya dengan janji-janji kosong pihak tertentu kerana pada akhirnya kita merana.