Meskipun kenyataan itu tidak menyebut sesiapa secara terperinci, namun telah mengundang pelbagai persepsi berhubung kepada siapakah ia ditujukan.

Apa yang diperkatakan oleh Mohamed Azmin itu mungkin satu bentuk luahan atau melepaskan geram kerana beliau dilihat tidak menang tangan untuk menangkis pelbagai tuduhan negatif dibuat terhadapnya.

Mohamed Azmin diserang bertubi-tubi oleh lawannya termasuk dakwaan liar kononnya beliau mahu mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR serta terlibat dalam komplot untuk menggagalkan usaha Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan.

Untuk Pemilihan PKR bermula 14 September ini, semua pihak mengetahui lawan Mohamed Azmin nanti ialah Rafizi Ramli, yang tidak mempunyai apa-apa jawatan berpengaruh, sama ada Ahli Parlimen atau anggota Kabinet.

Seperti seorang ‘penganggur’, Rafizi pula dilihat mempunyai lebih banyak masa dan telah pun menjelajah ke beberapa buah ne­geri untuk berkempen.

Keadaan itu tentunya memberi tekanan kepada Mohamed Azmin yang kini sibuk menggalas tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi terutamanya untuk memenuhi pelbagai manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum yang lalu.

Seperti yang dijelaskan oleh Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali, Mohamed Azmin kini berada dalam keadaan tertekan kerana perlu memenuhi segala tuntutan tugas selaku menteri kanan dan pada masa sama memikirkan mengenai pemilihan parti yang akan bermula.

Namun bagi Mazlan, sebagai ahli politik berpengalaman, Mohamed Azmin harus lebih bijak mengawal keadaan serta tidak membuat kenyataan yang berisiko memberi kelebihan kepada lawan.

Seandainya kenyataan jobless itu ditujukan kepada Rafizi, ia hanya bagaikan satu peluru kapur yang gagal menumbangkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Rafizi dianggap sebagai seorang aktivis dan banyak pihak mengiktiraf peranan besarnya untuk memberi kemenangan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan sebarang usaha memperlekehkannya akan membuatkan lebih ramai bersimpati terhadap beliau.

Mazlan turut menyatakan Mohamed Azmin perlu berhati-hati kerana kedudukan selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebenarnya sudah cukup memberikan beliau imej seorang pemimpin berkaliber dan tidak seharusnya dirosakkan dengan tindakan yang memakan diri.

Mungkin ada yang mempersoalkan adakah kenyataan Mohamed Azmin itu telah melanggar peraturan parti yang tidak mahu calon-calon menggunakan jawatan Kabinet masing-masing untuk meraih undi.

Apapun, pertembungan Azmin-Rafizi masih belum berakhir.