Agak pelik kerana kedua-dua calon adalah mewakili parti pemerintah. Ramli Mohd Nor mewakili BN yang memerintah Pahang, manakala M Manogaran dari PH mewakili kerajaan Persekutuan.

Dua lagi calon Bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehuddin Abdul Talib tidak akan memberi impak yang besar.

Kedua-dua pihak juga iaitu BN dan PH mempunyai strategi yang hampir sama iaitu memberi tumpuan kempen di kawasan majoriti Melayu di Jelai dan kawasan penempatan Orang Asli.

Jelai kubu kuat BN, manakala Tanah Rata kubu kuat PH iaitu DAP dengan pengundi majoriti kaum Cina dan India.

Ceramah BN
 

Pengundi Orang Asli pula di kawasan pedalaman.

Secara keseluruhan Parlimen Cameron Highlands sangat luas ibarat digabung negeri Melaka dengan Negeri Sembilan. Oleh kerana keadaan muka bumi yang berbukit-bukau jumlah pengundi adalah kecil hanya sekitar 32,000 orang.

Tiada kaum yang majoriti, cuma pengundi terbahagi kepada orang atas iaitu merujuk mereka yang tinggal di kawasan tanah tinggi, manakala orang bawah merujuk yang tinggal di kawasan Jelai.

Pengundi di Tanah Rata dan kawasan sekitarnya kelihatan telah membulatkan tekad untuk mengundi PH kerana mereka menganggap pelbagai masalah berkaitan kehidupan seharian seperti jalan yang sesak, masalah pemilikan tanah dan perumahan yang terlalu mahal tertunggak oleh kerajaan terdahulu.

Mereka menganggap BN yang pernah memerintah 60 tahun dan gagal mengatasi masalah yang dihadapi. Bahkan menjadikan isu penempatan tanah sementara atau TOL untuk pertanian yang perlu diperbaharui setiap tahun sebagai senjata untuk mengugut mereka setiap kali pilihan raya.

Orang Asli juga berhadapan dengan isu tanah warta hak milik untuk diusahakan mereka diubah kepada sebagai hutan simpan.

Agak sukar untuk Orang Asli keluar ke bandar untuk bekerja kerana jalan yang masih teruk keadaannya.

Mereka juga lebih gemar bekerja di kawasan penempatan sendiri kerana mudah untuk menjaga serta menguruskan keluarga.

Bagi pengundi di Jelai mereka kecewa dengan harga sawit yang merudum menyukarkan hidup seharian kerana pendapatan merosot mendadak.

Selain itu bantuan kepada peneroka juga belum sepenuhnya sampai kepada semua peneroka.

Jadi terpulanglah kepada jentera kedua-dua parti yang bertanding untuk memahami dan menjuarai isu setempat yang lebih dekat dengan pengundi.

Kelebihan sedikit kepada calon BN kerana beliau dari keturunan Orang Asli dan pastinya menjadi kebanggaan kaum berkenan untuk mempunyai ahli parlimen pertama dalam kalangan mereka.

Bagaimanapun biasanya Orang Asli tidak kisah sangat siapa calon kerana yang penting pihak mana menyediakan kenderaan untuk mereka keluar mengundi akan diberi sokongan.

BN pula tidak boleh terlalu selesa dengan sokongan di Jelai dan kelebihan calonnya, sebalik perlu juga berusaha untuk mendapatkan undi daripada penduduk Tanah Rata.

Satu hal yang memberi sedikit kelebihan BN adalah mereka turut dibantu oleh Pas yang mempunyai lebih 3,000 pengundi. Sekali lagi persoalannya apakah jentera Pas akan berusaha membawa penyokongnya keluar mengundi?

Apa pun strategi 48 jam terakhir yang akan menentukan kejayaan. Siapa berjaya tampil dengan strategi yang ampuh akan menang. - UTUSAN ONLINE