Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Dr. Mahathir gagal melaksanakan perkara itu selama 22 tahun ketika pertama kali memimpin negara, jadi ini adalah peluang kedua beliau memperbetulkan kesilapannya.

“Kita mesti ingat hak Sabah dan Sarawak termaktub dalam Perlembagaan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun selama 55 tahun merdeka langsung tidak pernah dilaksanakan sedangkan 22 tahun daripada­nya ialah di bawah pemerintahan Dr. Mahathir.

“Sebelum ini, semasa kempen pilihan raya, semua pihak berjanji mahu tunaikan MA63 tetapi apabila sudah jadi kerajaan, mereka semuanya diam,” katanya ketika Program Penjelasan MA63 di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Kelmarin, satu Jawatankuasa Kabinet MA63 telah ditubuhkan yang dipengerusikan Dr. Mahathir dan turut dianggotai beberapa pemimpin termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Pa­tinggi Abang Johari Tun Openg untuk membincangkan pelaksanaan MA63.

Jeffrey berkata, walaupun jawatankuasa itu ditubuhkan, namun hakikatnya hak ber­kenaan sudah termaktub dalam Perlembagaan dan ketika MA63 ditandatangani, semua wakil yang menurunkan tandatangan iaitu dari Sabah, Sarawak serta Malaya telah berjanji untuk melaksanakannya.

Menurut Jeffrey, sebagai ne­geri yang kaya dengan hasil bumi, Sabah sepatutnya membangun dengan pesat tetapi hakikatnya pemimpin negeri seolah-olah terpaksa mengemis di Putrajaya untuk memohon peruntukan walaupun duit itu datang dari Sabah.

“Tidak perlu ada jawatankuasa itu, jawatankuasa ini kerana semuanya ada dalam Perlembagaan, salah satu hak Sabah ialah kewangan, bayangkanlah hasil bumi kita tidak kurang RM60 bilion setahun, jika dikira 40 peratus Sabah patut dapat kira-kira RM24 bilion

“Tapi yang kita dapat cuma lebih RM20 juta setahun. Cukai import petroleum dikenakan 10 peratus, cukai eksport pun 10 peratus tetapi hasil cukai yang kita dapat kosong,” katanya.