Namun, menurut Raja Petra Kamarudin, itu yang dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang didakwa bahawa PRK itu merupakan medan pertempuran antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi penulisan penganalisis politik itu di laman blognya Malaysia Today, Raja Petra mendakwa bahawa calon Pakatan Harapan (PH) di PRK Semenyih, Muhammad Aiman Zainali bukan lah ‘pilihan’ Tun M.

Ini berikutan Perdana Menteri itu telah memilih ‘orangnya’ sendiri untuk diangkat sebagai calon di PRK Semenyih.

“Menurut laporan perisikan, PH atau Bersatu mungkin kehilangan PRK Semenyih. Malah, calon Bersatu sendiri, Muhammad Aiman Zainali mengadu tentang disabotaj. Apa yang tidak disebutkan Aiman ialah sabotaj itu adalah dari dalam, dilakukan oleh mereka dari pihaknya sendiri.

“Sebenarnya, Aiman tidak sepatutnya bertanding di PRK Semenyih. Dr. Mahathir telah menjanjikan kerusi itu kepada orang lain, seseorang yang telah menyumbang banyak wang kepada parti semasa pilihan raya umum lalu atau PRU-14. Individu ini lebih kurang ‘membeli’ kerusi Semenyih.

“Tetapi kemudian Muhyiddin ‘keluarkan’ calon Mahathir dan menggantikannya dengan Aiman. Oleh itu, terdapat beberapa orang di dalam Bersatu dan PH sendiri yang mahu Aiman tewas PRK ini untuk memberi Muhyiddin pengajaran,” dakwa Raja Petra.

Dalam pada itu, Raja Petra turut berpendapat PRK Semenyih itu juga untuk menguji keberkesanan kerjasama UMNO-Pas selepas dilihat berjaya pada PRK Cameron Highlands lalu.

“Namun perkara itu belum tentu, jadi mereka (UMNO-Pas) perlu membuktikan kerjasama itu berjaya buat kali kedua.

“Dan inilah yang mengecewakan PH. Mereka tahu bahawa UMNO dan Pas masing-masing menguasai kira-kira 35 peratus undi Melayu dan sekiranya UMNO dan Pas bekerjasama maka mereka akan menguasai sekurang-kurangnya 70 peratus undi, dan mungkin sehingga 75 peratus.

“Itulah sebabnya PH sedang berusaha keras mendiskreditkan Pas dengan cerita cek dan pita rekod RM90 juta. Mereka mahu kerjasama UMNO-Pas gagal. Tetapi kempen PH untuk mendiskreditkan Pas seolah-olah telah gagal walaupun telah mencuba melakukan semuanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE