Sehubungan itu, Ahli Majlis MPN PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan, peletakan jawatan Hassan itu bukan berpunca daripada konflik yang berlaku di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Syed Ibrahim memberitahu, terpulang kepada Anwar sebagai Presiden PKR menentukan untuk menerima peletakan jawatan Hassan.

“Saya boleh katakan peletakan jawatan beliau tiada kena mengena dengan kemelut yang berlaku. Saya difahamkan ia dibuat atas sebab peribadi.

“Saya difahamkan dia ada hantar surat letak jawatan minggu lalu, tetapi presiden akan putuskan sama ada terima atau tidak,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today, semalam.

Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang dilaporkan meletakkan jawatan dipercayai selepas menerima tekanan daripada pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengannya.

Pergolakan dalaman antara Hassan dengan individu tersebut dilaporkan telah berlarutan sejak sekian lama namun tekanannya semakin kuat sejak akhir-akhir ini.

Ini merupakan kali kedua Hassan meletak jawatan sebagai MPN PKR Johor. Kali pertama ialah pada tahun lalu tetapi beliau menarik semula keputusan tersebut. - UTUSAN ONLINE