Penganalisis politik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, memandangkan peletakan jawatan Ahli Parlimen dibenarkan dalam peraturan pilihan raya, sudah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut.

Justeru, tidak timbul isu bahawa PRK tidak boleh diadakan atas alasan peletakan jawatan Ahli Parlimen bagi memberi laluan kepada pihak lain untuk bertanding sedangkan peraturan pilihan raya sendiri membenarkan PRK diadakan apabila penyandang meletakkan jawatan.

“Kita perlu bersandarkan kepada peraturan pilihan raya dan setakat ini peraturan tersebut membenarkan berlakunya PRK sekiranya mana-mana penyandang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

“Ini bermakna SPR perlu mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di luar jangka disebabkan oleh kematian penyandang, peletakan jawatan penyandang, hilang kelayakan dan pembatalan keputusan pilihan raya oleh pihak mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat PKR untuk mengosongkan satu kerusi Parlimen bagi memberi ruang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Anuar juga mengharapkan SPR memainkan peranan dalam meningkatkan peratusan turun mengundi dengan mengurangkan tempoh berkempen serta memilih tarikh mengundi yang tidak melibatkan cuti panjang.

“Mungkin SPR boleh kurangkan tempoh berkempen 21 hari sebagaimana di PRK Seri Setia dan Balakong kepada jumlah yang lebih rendah malah diharapkan supaya PRK diadakan pada tarikh yang tidak melibatkan cuti panjang,” katanya. – UTUSAN ONLINE