Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, Mahathir sedar selepas 15 bulan menjadi kerajaan, hakikatnya dalam kalangan rakyat terutama orang Melayu yang lebih kuat ialah parti UMNO.

Menurutnya, Mahathir juga menyedari bahawa yang lebih ramai ahli dan yang mewakili majoriti orang Melayu ialah UMNO.

“Selepas kalah (PRU-14), UMNO dan Pas bergabung, ini yang Tun nampak. Kedua-dua parti boleh bersama, jadi mengapa Melayu sekarang tidak boleh bergabung semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Barat di sini hari ini.

Khairy berkata, beliau mengambil positif pelawaan Mahathir itu walaupun ada kalangan orang UMNO yang menolaknya.

Beliau berkata, baginya pelawaan Mahathir itu berniat baik untuk melihat orang Melayu kembali bersama.

“Namun paling utama kita terus perkuatkan UMNO, apa jadi dengan tawaran Tun kita fikirkan kemudian.

“Yang penting UMNO kena kuat dulu, yang penting kita teruskan agenda dengan Pas, kita buktikan kebangkitan UMNO untuk orang Melayu dan seluruh rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE