Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya UMNO memilih untuk menjalin kerjasama dengan Pas atas prinsip penyatuan umah yang merupakan jalan terbaik untuk orang Melayu dan Islam.

“Mana mungkin kita boleh menjalin kerjasama dengan mereka yang dulunya menyatakan UMNO telah rosak dan berkubur.

“Sebenarnya pelawaan dibuat kerana mereka sedar Bersatu bukan sebuah parti yang mampu menjadi juara orang Melayu dan tidak mempunyai ketahanan. Tanpa UMNO mereka tidak mempunyai suara,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Labis di Dewan Char Tai Khor di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu mempelawa semua parti politik Melayu untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu semasa berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Johor Bahru pada 5 Julai lalu.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, Bersatu ketika ini bukan sahaja terhimpit dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) malah semakin tersepit dengan suara orang Melayu. - UTUSAN ONLINE