Sebaliknya, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pelantikan mana-mana individu untuk memegang jawatan dalam kerajaan negeri adalah berdasarkan kepada merit, latar belakang pendidikan, kemampuan kepimpinan dan kebolehan mentadbir calon itu.

Beliau berkata, pembangkang tidak wajar memainkan pelantikan jawatan kerajaan negeri itu dengan isu keluarga kerana tidak wujud polisi sedemikian diamalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Pelantikan Datin Mahani Othman Basir iaitu isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab sebagai Timbalan Pengerusi Pusat Zakat Melaka (PZM) pada Julai tahun lalu tiada kaitan dengan hubungan kekeluargaan, sebaliknya berdasarkan kelayakan kriteria.

"Sebenarnya, saya sendiri melantik Mahani sebelum Mohd. Sofi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Isu pelantikan isteri Mohd. Sofi mendapat liputan beberapa media sosial sejak kebelakangan ini yang mendakwa lantikan jawatan penting dalam kerajaan negeri dibuat melibatkan individu yang mempunyai ikatan atau hubungan kekeluargaan.

Mengulas lanjut, Adly berkata, Mahani dipilih berdasarkan kepada merit, pendidikan ijazah dan sedang menyambung ijazah sarjana, selain kriteria pemimpin yang baik sebagai Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.

Malah Adly yang juga Pengerusi MAIM berkata, Mohd. Sofi tidak terbabit dengan pelantikan isterinya itu berdasarkan tarikh berkenaan.

Malah katanya, keputusan itu juga berdasarkan hasrat kerajaan menempatkan 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar terutama struktur Lembaga Pengarah (BoD) yang banyak dikuasai golongan lelaki.

"Walaupun beliau adalah bakat baharu, bukan mudah untuk kita mencari tokoh wanita sebagai pembuat dasar apatah lagi dalam posisi tertinggi dalam institusi agama," katanya. - UTUSAN ONLINE