Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden berkata, pejuang siber UMNO tidak boleh lagi menyerang sesama sendiri untuk mempertahankan pemimpin masing-masing sebaliknya fokus menangkis segala fitnah dan tuduhan pembangkang demi kemenangan parti.

Beliau berkata, statistik menunjukkan 82 peratus pengundi menggunakan media sosial malah 90 peratus pengundi mudah aktif dalam medium tersebut, justeru kesempatan tersebut perlu digunakan sebaik mungkin untuk menangkis fitnah dan menarik sokongan rakyat.

"Saya tahu setiap pemimpin ada pejuang siber masing-masing tetapi sebelum ini mereka berfikiran silo ada yang tembak sesama sendiri, perangai seperti seladang, suka tanduk sesama sendiri sampai tanduk patah, akhirnya bila harimau dan singa datang tanduk seladang tidak ada lagi untuk bertahan.

"Jangan kita serang sesama sendiri. Kita lihat pengaruh media sosial sangat kuat, kita kalah dalam perang persepsi sebab kita perang sesama sendiri, akhirnya kita kecundang kerana kita tidak laksanakan tugas menangkis fitnah dan tuduhan pembangkang," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Media Sosial anjuran Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid turut menasihatkan setiap pejuang siber parti agar tidak melampaui batas-batas moral dan menggunakan kata-kata kesat seperti dilakukan golongan lawan sebaliknya mereka perlu menjaga tatasusila.

"Dulu kita baik, malah amat baik sehingga mereka ambil kesempatan, kali ini kita tidak akan jadi terlalu baik tetapi bukanlah sampai jadi jahat kerana kita menjawab dengan menghamparkan fakta dan maklumat yang tepat.

"Mereka bergembira kalau dapat memalukan dan melondeh pakaian seseorang pemimpin di laman sosial tetapi itu budaya songsang yang semberono, kita bukan macam itu kerana kemenangan kita mesti dicapai dengan cara yang baik," tegas beliau. - UTUSAN ONLINE