Ketua Menteri merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya bekerja dalam satu pasukan dan akan memalu 'gong' (gerakan kempen) tidak lama lagi.

Katanya, pada pilihan raya kali ini, pihaknya akan menyedarkan rakyat tentang sumbangan diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad yang 22 tahun menerajui kerajaan tetapi mengabaikan Sarawak.

"Kita beritahu masyarakat di negeri ini tentang fakta dan perkara sebenar yang berlaku.

"Jangan pisang berbuah dua kali. Kita lindungi hak Sarawak, hala tuju negeri ini perlu ditentukan rakyat Sarawak bukan orang lain," katanya berucap semasa Majlis Sekalung Budi, Sejambak Kasih di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PBB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung PBB ke-14, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Naib Presiden Kanan, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Majlis itu dianjurkan bagi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam Perhimpunan Agung PBB Ke-14 yang berjalan dengan baik pada 8 hingga 12 Februari lalu.

Sementara itu, Douglas Uggah memberitahu, keadaan PBB yang semakin kukuh dan bersatu-padu melayakkan parti itu menerajui kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, perhimpunan lalu juga menyatakan pendirian jelas 82 cawangan menyokong dan bersama dengan Presiden parti.

"DAP menyatakan Ketua Menteri cakap kosong (hot air) sebaliknya parti itu yang cakap kosong dengan pendekatan ketinggalan bagi mendapatkan royalti minyak 20 peratus.

"Chong Chieng Jien (Pengerusi DAP Sarawak) dengan parti Semenanjung mengikut 'boss' dia, tapi apa diperjuangkan tidak dapat dibandingkan dengan Abang Johari.

"Kenyataan dan tindakan Abang Johari terbukti bukannya omong kosong. Pemberian lesen kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di samping kerajaan negeri menjadi badan kawal selia bagi aspek huluan dan hiliran kepada industri minyak dan gas di negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata, rakyat Sarawak perlu menolak DAP yang tidak membantu mereka, hanya mengacau dan membuat sandiwara. - UTUSAN ONLINE