Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

"Keputusan ini bagi membolehkan saya memberi tumpuan kepada perbicaraan untuk saya membersihkan nama saya.," katanya.

Paul dalam kenyataanitu juga akan memaklumkan keputusannya untuk bercuti daripada menjalankan tugas-tugas rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.


Paul berpandangan, sebagai seorang ahli politik, beliau sepatutnya meletakkan kepentingan kerajaan negeri melebihi daripada kepentingan peribadi.


Sehubungan itu katanya, setelah meneliti situasi terkini, beliau mengambil keputusan untuk bercuti sementara bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada perbicaraan mahkamah bagi membersihkan namanya.


"Saya telah mengarahkan kepada peguam untuk memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan tarikh terawal perbicaraan supaya boleh membersihkan nama dan membuktikan saya tidak bersalah dengan secepat mungkin.


"Pada masa sama, saya masih akan berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh seperti biasa," katanya.


Dalam pada itu, Paul sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya pertuduhan ke atasnya yang disifatkan sebagai kejam dan tidak berasas.

"Saya yakin fitnah ini merupakan suatu komplot jahat yang bermotifkan politik dan pertuduhan bersifat jahat ini telah menyebabkan kesusahan terhadap rakan sekerja, ahli keluarga dan juga diri saya," katanya.


Pada 23 Ogos lalu, Paul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu rumahnya, Julai lalu.


Paul bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan setelah didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE