Menurut Guan Eng, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan tidak sepatutnya membuat rungutan itu kerana kedua-dua cukai iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan SST mengenakan peratusan yang sama sebanyak enam peratus.

Tanpa memberi penerangan lanjut berhubung dakwaan itu, Guan Eng bagaimanapun menjelaskan hanya pengusaha makanan dan minuman yang terlibat dengan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok dikecualikan SST.

“Kita harap bekas Menteri Kewangan (Najib) janganlah cuba untuk menjadi wira sekarang. Bila masa dia (mentadbir negara), GST enam peratus itu jauh lebih teruk, tapi sekarang apa yang kita tetapkan (SST) amat longgar.

“Rupanya hanya sekarang baru beliau sedar apabila pergi kedai kena bayar itu enam peratus (cukai). Sebelum itu, mungkin dia tidak sedar,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas mengenai satu kenyataan yang dimuat naik Najib menerusi akaun Twitter miliknya semalam yang terkejut apabila sebuah kedai sederhana kecil di Tanjung Malim, Perak turut mengenakan SST untuk makanan seperti kuih pau. - UTUSAN ONLINE