Malah kata Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli, kepemimpinan badan agama tersebut pada masa itu juga tidak menimbulkan pertikaian sebaliknya lebih telus berbanding sekarang yang dikuasai pemimpin-pemimpin politik.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, sepatutnya lantikan tersebut perlulah terdiri dalam kalangan cendekiawan Islam.

“Banyak lagi cendekiawan Islam yang layak tetapi mengapakah memilih orang politik? Pilih orang politik akan menyebabkan tanggapan tidak baik dalam kalangan masyarakat terhadap jabatan agama itu.

“Kita akui pelantikan di zaman kerajaan BN adalah lebih baik dan tidak timbul pertikaian. Sekarang orang sudah mula pertikai mengapa Yadim dikuasai oleh orang-orang politik,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Johor, daripada DAP, Sheikh Omar Ali dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan lain yang dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yadim.

Pelantikan Sheikh Omar bagi jawatan tersebut untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikan telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof di Putrajaya, baru-baru ini.

Sheikh Omar dipercayai yang pertama melibatkan pemimpin DAP ke dalam institusi agama berkaitan Kerajaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE