Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua pihak tanpa ada yang terkecuali, mempunyai peranan dalam menjayakan hasrat yang terkandung dalam pelan berkenaan.

“Pelan ini disediakan melalui satu proses yang mengambil kira aspirasi dan harapan rakyat Malaysia dalam perjalanan memerangi rasuah.

“Ianya berdasarkan bukti-bukti empirikal daripada hasil analisis kajian dan data tangkapan serta laporan audit yang terkini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 86 individu terdiri daripada warga kementerian, jabatan dan agensi telah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang bagi tahun lalu.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam pada itu, Anthony memberitahu, pembaharuan ke arah mensejahterakan perkhidmatan awam dan rakyat amat perlu dilaksanakan dalam sektor awam demi menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan.

Pemisahan kuasa antara badan pemerintah, perundangan dan kehakiman tambahnya, perlu diutamakan dalam memastikan integriti perkhidmatan awam tidak dipertikaikan.

“Doktrin pengasingan kuasa dalam amalan demokrasi ini amat penting bagi melindungi kebebasan semua pihak dan juga untuk menghindari daripada berlaku salah guna kuasa,” katanya.

Anthony berharap, semua warga kementerian akan sentiasa meletakkan diri sebagai seseorang yang sangat berharga untuk setiap tugasan dilakukan tanpa mengira masa, dan tenaga.

“Kecemerlangan ini akan terus menjadi pemangkin dan menjadi pendorong untuk kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE