Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, selain itu gelombang penolakan rakyat terhadap PH yang semakin ketara, menambahkan keyakinan beliau dan ramai pihak bahawa hasrat tersebut mampu dicapai.

Beliau berkata, di peringkat negeri, pihaknya masih menunggu hasil perbincangan antara jawatan kuasa Pas dan UMNO di peringkat pusat sebelum langkah seterusnya diatur.

“Daripada soal pembahagian kerusi, ia masih awal dan kita sedia mendengar pandangan semua pihak. Kika jangka pilihan raya adalah sangat dinantikan oleh rakyat dan gelombang penolakan terhadap PH juga semakin terserlah.

“Hal demikian jelas selepas PH gagal menunaikan janji manifesto selain pelbagai isu yang meresahkan rakyat. Saya juga melihat kemungkinan pilihan raya diadakan lebih awal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, mengambil alih kuasa pentadbiran pada pilihan raya umum akan datang merupakan antara perundingan yang dibincangkan antara Pas dan UMNO dalam kerjasama yang dimeterai dua parti itu

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, rundingan menerusi pembentukan Piagam UMNO-Pas berkenaan turut dibuat dari sudut kawasan bertanding dan calon.

Tambah beliau, Pas sentiasa bersedia dalam menghadapi pilihan raya dan membuat persiapan dari masa ke semasa. - UTUSAN ONLINE