Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ahli politik biasa membuat ramalan dan menjadi nujum politik sejak dulu lagi.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, ia juga berlaku semasa PH masih bertaraf pembangkang sebelum PRU-14.

“Tidak ada masalah untuk sesiapa pun membuat ramalan sebab dalam politik memang ramai pak nujum untuk memberi data dan angka dalam usaha mencapai kemenangan.

“Mungkin pembangkang telah mendapat ilham lebih awal dan mengumumkannya. Pada saya, masih awal untuk menentukan siapa yang akan menang dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama untuk anak-anak negeri ini anjuran Yayasan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan Utusan Online, Sabtu lalu bahawa Pas negeri ini percaya ia akan membentuk kerajaan negeri selepas PRU-15 melalui kerjasama dengan UMNO.

Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan data dan jumlah pengundi kedua-dua parti di kawasan DUN berkenaan dalam PRU-14.

Katanya, salah satu kerusi DUN boleh dimenangi ialah Sikamat yang kini disandang oleh Aminuddin.

Aminuddin memberitahu, beliau tiada masalah dengan pendapat seperti itu kerana percaya rakyat yang akan membuat pilihan mengenainya.

“Kita bekerja dan kita berlawan dalam prinsip dan semangat demokrasi.

“Yang penting, kita ada masa kira-kira tiga setengah tahun lagi untuk bekerja keras demi rakyat dan kemudian menyerahkan kepada mereka untuk menentukan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE